Saturday, May 11, 2019

Sugar? 10

AKHIRNYA kedai kopi jugaklah mereka duduk menghilangkan lenguh kaki setelah hampir sejam pusing NU Sentral dan KL Sentral.  Memang tahap ketagih Dian pada kopi ni menakutkan sungguh. 
“Sedap ke?”  soal Nel seusai menyisip coklat ice-blendednya. 
“Sedap, tapi…”  Dian senyum. 
“…sedap awak buat lagi…” 

“Ouch…”  Nel kerutkan dahi.  Memegang dadanya dengan wajah berkerut seribu.  Persis menahan sakit yang bukan sedikit.
“Eh, awak kenapa ni, Encik Nel?”  Dian kalut.  Dia seret kerusinya mendekati Nel. 
“Sini…ouch…”  Nafas Nel kedengaran berat. 
“Awak sakit kat mana-mana ke?”  Matanya mula mencari sasaran.  Mengharap pertolongan tapi tawa halus Nel matikan segalanya.
“Tertusuk jantung saya dengar awak cakap macam tu tadi, Cik El…” 
“Awak ni…”  Terus Dian tolak semula kerusinya.  Wajahnya ketat. 
Dia mati-mati ingat sakit betul.  Tapi, Nel mainkan dia. 
“Sakit sungguh nanti, baru tahu…”  bebel Dian. 
“Kalau sakit nak datang, saya tak boleh sekat.  Itu ujian kan.  Sebab ujian ni datang dalam pelbagai bentuk, masa dan cara.  Semuanya berbeza.  Kita tak boleh nak duga.  Betul tak, Cik El?”  soal Nel serius.
Dian angguk sekali dua.  Betul kata Nel. 
“Kenapa awak tak tanya saya tentang apa yang dah jadi hari tu, Encik Nel?”  tanya Dian tiba-tiba. 
Dia yakin sangat, Nel dah lama perhatikan dia.  Nel dah tahu apa yang jadi antara dia dan Haikal biarpun dia tak pernah sebut nama Haikal pada Nel. 
“Awak nampak hari tu, kan?” 
Perlahan, Nel jatuhkan kepala. 
“Sebab tu awak bagi saya kek hari tu, kan?  Suruh saya rasa nikmat kemanisan?”
Sekali lagi Nel angguk. 
“Jadi, awak mesti fikir yang saya ni perempuan lemah, kan?  Kalah di depan seorang lelaki?”  Dia tahu Nel akan angguk juga tapi pelik bila lelaki ini menggeleng.
“I won’t judge…”
“Habis tu, kenapa tak tanya?”  Dian yakin, biarpun Nel nampak tapi butir bicara tak jelas.  Nel tak tahu di mana pangkal dan di mana hujung. 
Nel juga perlu tanya saat dia menceritakan tentang mama dan ayahnya yang mempunyai tanggapan yang menyimpang tentang hubungan mereka.  Tapi, Nel langsung tak sebut.  Menjadikan rasa bersalahnya meningkat berkali ganda.  Tambah pula dia risaukan keselamatan Nel.  Nak-nak bila Haikal dan ayah dah kenal Nel.  Tahu di mana Nel bekerja.  Ayah okey lagi.  Tapi Haikal… lelaki itu boleh jadi sanggup sakiti Nel hanya untuk membalas dendam padanya. 
“Awak patut tanya, kan?” 
Sekali lagi, Nel menggeleng.  Tetap dengan pendiriannya. 
“Saya rasa itu privacy awak.  Dan tentu awak ada sebab sendiri.  Lagipun, kita baru kenal, tak mungkinlah saya tanya…” 
“Betul cakap awak, Encik Nel.  Tak mungkinlah awak tanya.  Tak mungkinlah saya akan bercerita.  Tapi…” 
“Atau awak rasa nak bercerita?”  Nel menduga bila Dian matikan kata di situ. 
Dia tahu, boleh jadi Dian perlukan seseorang kerana dia dah tahu bagaimana kehidupan Dian sejak dulu.  Biarpun samar-samar tapi dia dah boleh agak yang Dian hidup tanpa kawan-kawan.  Boleh jadi, seluruh hidup Dian dikawal rapi.  Entahlah. 
“Saya nak bercerita dengan seseorang dan saya nak seseorang tu adalah awak, Encik Nel…” 
“Untuk awak tahu… saya sentiasa sudi jadi orang tu…”  Nel lebarkan senyum.  Ikhlas.  
“Tapi, saya juga tahu awak tak sedia.  Jadi, saya tak menduga, saya tak tanya jauh sekali nak memaksa.  Itu hak awak.  Andai awak rasa awak mampu untuk simpan sendiri, simpanlah.  Jika sebaliknya, saya sudi dengar.  Mungkin masanya bukan sekarang.  Boleh jadi bila-bila yang kita sendiri tak tahu, Cik El.  Ambiklah masa awak.  Selama mana yang awak perlukan.  Saya faham, sukar untuk tiba-tiba kita ubah citarasa kita.  Sama macam awak.  Awak tetap suka kopi pahit biarpun berkali saya hulurkan makanan yang manis.  Kerana kita dah terbiasa dengan rasa begitu.  Jadi, saya sudi tunggu sampai masa awak sudi minum coklat pula dengan saya…”  Nel kenyit mata bila menamatkan ayatnya.
Ayat yang jelas berbalut pujukan.  Dia bukan jenis lelaki mendesak.  Haikal?  Ya, Dian tak sebut langsung nama tu.  Dia cuma terdengar sekali masa Dian menyeru lelaki itu tempoh hari. 
Dia dan Haikal berbeza.  Tentang segalanya.  Dia mahu Dian tahu itu tapi segalanya masih terlalu awal.  Dian berhak diberi waktu untuk menilai dirinya. 
“Awak tahu saya dah jadikan awak sebagai kambing hitam…”  akui Dian.  Meluahkan kesilapannya.  Dia tak mahu persahabatan mereka dimulai dengan kesilapan yang sengaja dia sorok. 
Satu hari, yang sakit adalah Nel. 
“Maksud kambing hitam tu?”  Nel tak faham.
“Saya kata awak adalah seseorang yang istimewa dalam hati saya…”
“Am I?”  Nel  jongket sebelah kening.  Mencabar jawapan Dian. 
Tapi, gadis itu diam.  Hanya menggigit bibir bawah.  Wajah Dian dihurung rasa bersalah. 
“Cik El, kan saya dah cakap… saya sudi jadi seseorang yang macam orang tua awak fikirkan tu.  Jadi, tiada istilah kambing hitam atau kambing gurun dekat sini.  Saya dah bagi hak dan awak berhak jadikan saya seseorang dalam hati awak…”
El ketap bibir.  Dia tunduk.  Mengesat birai mata sebelum air jernih itu jatuh.  Kenapalah dengan dia?  Dulu, dia hanya terima segalanya dengan senyuman biarpun terpaksa.  Andai mahu menangis, dia hanya menangis sendiri.  Tapi hari ini, airmatanya begitu murah.  Di depan lelaki yang baru dia kenal pulak tu! 
“Awak tak kenal keluarga saya dan keluarga bekas tunang saya, Encik Nel?”
“Awak rasa perlu ke saya kenal?” 
“Saya tak bergurau…”  Nada Dian tegas.
Nel kerutkan dahi.  Tak berkata apa.  Padahal dia pun tak bergurau.  Andai Dian rasa perlu untuk dia kenal, dia sanggup ambil risiko.  Inilah namanya lelaki yang berani mengakui hati sendiri.  Apa masalahnya?  Dia bukan rampas Dian.  Dia bukan nak buat bukan-bukan pada Dian. 
“I am sorry, Cik El…”  pinta Nel bila wajah Dian masih serius.
“Tell me… then I can take pre-coutious…”  tambahnya.
Dian lepaskan nafas berat. 
“They can harm you in many ways..  Saya takut…” 
“Awak takut saya akan sakit?  Dan awak rasa awaklah puncanya?  Gitu?”  Laju Nel menambah dan bila Dian diam, Nel yakin telahannya tepat. 
“Jangan risau, Cik El.  Diorang boleh buat apa saja tapi tak boleh sakitkan saya.  Saya tahu jaga diri dan jujurnya saya yakin saya mampu jaga awak dengan baik…”  jawab Nel perlahan dengan senyuman tipis.  Cuba dihalau resah di hati Dian yang risau menjadi penyebab pada setiap keburukan yang mendatang. 
Dian gamam.  Dia kehilangan kata.  Hanya mampu memandang  anak mata Nel tanpa berkelip.  Lelaki ini begitu bijak berkata-kata.  Siapakah Nel?  Kenapa sebegini mudah hatinya berasa senang dan lapang bila bersama lelaki ini?  Andai nak dikira, Nel adalah kawan pertama yang dia ada.  Boleh jadi, yang satu-satunya.  Kerana itu dia tak mahu Nel disakiti kerana dia.   
Mata itu nampak begitu tenang.  Wajah itu sentiasa bertunas dengan senyuman tanpa putus.  Seperti sepanjang masa, wajah Nel tak ubah seperti bunga yang memberi madu.  Manis.  Rasa macam dia mahu menjadi lebah dan menikmati kemanisan itu.  Tapi, dia dan Nel berbeza.  Dia bimbang kemanisan Nel akan hilang bila digaul dengan kepahitannya. 
“Jangan tenung saya macam tu, Cik El,”  tegur Nel. 
“Saya takut perasaan awak nanti terkurung dalam mata saya.  Masa tu, awak tak akan boleh bawa perasaan awak keluar lagi…”

Dian terus tunduk.  Hatinya sedang dilanda gempa yang hebat.  Tak sedar, dia senyum juga.  Buat pertama kali dalam emosi yang begitu sukar untuk dia damaikan… hatinya terasa tenang.  

No comments:

Post a Comment