SYUKURLAH tak
ramai pengunjung hari ni. Dia pun tak
tahulah kenapa Haikal boleh ajak dia ke café ni. Ya, memang ini tempat kegemaran dia tapi
kenapa Haikal nak leburkan segala senyuman dia dengan merosakkan tempat ini dengan kenangan yang menyakitkan.
“I minta maaf
dengan you, Haikal…” Entah kali ke
berapa dah dia minta maaf dengan lelaki ini.
Ikut hati, dia
tak nak. Tapi, mengenangkan ayah dan
mama, dia paksa dirinya tunduk di depan lelaki ini. Lagipun, dia perlu selamatkan pertunangan
mereka. Cincin emas ini perlu kekal
dijari manis dia. Dia dah bukak semalam,
tapi ayah paksa dia pakai semula.
“Tak perlu minta
maaf, Dian. Berapa kali I nak cakap,
kita jangan jumpa lagi. Lagipun, I tak
salahkan you pun…”
Dian pejam mata
rapat. Memang kau tak salahkan aku, tapi
mak bapak aku sedang tuding jari pada aku.
Nak aje dia campak kata-kata begitu di depan mata Haikal. Tapi, ini tempat umum dan dia tak pernah
didik dirinya menjadi kurang ajar.
Mengalah, bukan
bermakna kalah! Petua itu yang buat dia
kuat selama ini.
“Mama dengan
ayah I tak nak kita putus… lepas dua tahun, dia nak kita kahwin jugak nanti…”
“I tahu mama
dengan ayah you dah tentu tak nak kita putus.
Tapi, you sendiri macam mana? I
bukan nak hidup dengan mama dan ayah you…”
bidas Haikal. Dia senyum sinis
bila Dian memandang tepat pada matanya.
“I pun
sama. Kita dah tunang lama. I tak nak orang tua kita kecewa…”
“Well, I faham
tu…” Haikal sengih jengkel.
Siapalah tak
nakkan dia. Dia anak jutawan kot. Pewaris tunggal pulak tu. Siapa tak nak anak gadis sendiri senang. Dan kesenangan itu adalah dia.
“You tak faham,
Haikal,” ujar Dian.
“I faham…” Tubuh Haikal menunduk ke depan sedikit.
Dia renung jari
manis Dian. Runcing jarinya. Putih bersih.
Menyebabkan cincin pertunangan mereka itu begitu terserlah di jari manis
Dian. Sejak mummy sarungkan cincin itu,
rasanya tak pernah lagi Dian tanggalkan.
Di rumah tak tahulah. Tapi, bila
bersamanya dan bila keluar rumah, memang cincin itu gah menghiasi jari manis
milik Dian.
“I faham kalau
uncle dengan aunty marah. Tapi, diorang
juga kena faham, jodoh bukan di tangan kita.
Betul tak?”
Heh. Dian ketap bibir. Nak aje dia hayunkan telapak tangan pada
wajah Haikal. Biar faham sikit apa itu
erti sebenarnya jodoh. Jangan jadi
bodoh!
“Dah dua tahun,
Haikal. I dah lama terima you. I tak sanggup nak kecewakan hati orang tua I
kalau you terus berkeras nak kita putus,” tambah Dian cuba yakinkan
Haikal.
Biarpun dia juga
sedang terpaksa. Tapi, tak apalah. Ayah nak gadai bahagia dia? Silakan.
Dia rela tersadai di pajak gadai milik Haikal. Biar selamanya tak dituntut.
“Dua tahun ni
jugak, I nampak you paksa diri terima I.
Betul tak Dian?” sindir Haikal.
Eleh, dia bukan
tak tahu. Dian terpaksa terima dia
biarpun dia separuh mati gilakan keindahan pada wajah Dian. Bibir yang lokek dengan senyuman tu
benar-benar buat dia tak keruan. Tapi,
setelah dua tahun… Dian tetap jinak-jinak merpati. Susah dia nak ikat. Lagipun, dia bukan tak laku. Sekali petik, bersusun perempuan yang sudi
temankan dia.
“Ya, Haikal,”
akui Dian perlahan.
“Betul kata you. Awal-awal dulu I memang paksa diri untuk
terima you. Tapi, apa masalah sekarang
bila I dah lama terima you dalam hidup I dan I janji dengan diri sendiri yang
you adalah bakal suami I. Dah tu, kenapa
sekarang you macam ni?”
“Manusia
berubah, Edian…” Haikal hirup air yang
masih separuh tersisa.
Sesekali,
matanya mengerling pada baristar yang ada di sebalik rak cawan. Culas sungguh mata itu memerhatikan dia dan Dian. Dapat rasa sesuatu. Kerana lelaki ini gamaknya, Dian suka lepak
di sini.
“Jadi you nak
cakap, hati you pun berubah?”
Bibir Haikal
menceber menolak telahan Dian.
“I tak pernah
berubah…”
“Habis tu?” Makin tak keruan dia dengan Haikal ni. Padahal dia dah bawak sabar berlebih. Tapi, tetap tak mencukupi.
“I tak pernah
berubah sebab I tak pernah ikhlas terima you,” bohong Haikal sengaja
menyakitkan hati Dian.
Biar perempuan
ni rasa sikit. Edian Lufiya – gadis cantik
yang dingin, bijak dan pendiam tapi mampu membunuh secara senyap. Itulah yang dia rasa selama bertunang dengan Dian.
“Apa you
cakap?” Wajah Dian dah berkerut. Dia bimbang dia yang tersalah dengar. Kerana itu dia aju soalan itu. Mencari kepastian.
Dia rasa
tertipu. Segalanya usahanya menyayangi
Haikal selama ni bagaikan sia-sia.
Malah, kalau daripada awal Haikal tak boleh nak terima dia, baik lelaki
ini berterus-terang. Tak adalah dia
perlu buang masa dan usaha untuk cuba pujuk hati demi lelaki ini.
“True,”
ujar Haikal yakin.
“Lagipun, I rasa
mama dengan ayah you nak sangat dekat I sebab nak tumpang kekayaan keluarga I. Sebab nama dan kedudukan. Bisnes…”
Wajah Dian
menyeringai. Birai matanya mula
basah. Hakikatnya begitulah. Haikal tahu dan dia juga sedar sejak
dulu. Tapi, dia tak pernah ada
pilihan. Cuma, bila menerima kata-kata
itu daripada mulut lelaki yang ayah puja, hati yang sedia luka bertambah
perit. Betapa dia marah pada mama dan
ayah, mereka adalah orang yang paling dia sayang.
Katalah apa saja
tentangnya tapi orang tua itu adalah ibu dan ayahnya. Tergamak Haikal menghina orang tua dia di
depan matanya sendiri? Penumbuk
digenggam kemas. Menahan rasa.
“Diorang
gadaikan you pada I…” bisik Haikal dalam senyuman.
“You pakej
lengkap. Keluarga you pun bukan
calang-calang. You juga seorang
pewaris. You bijak, ada kerjaya hebat,
cantik, pandai bawa diri. You pakej
sempurna untuk jadi calon menantui keluarga I tapi sorry, Dian. Jujurnya, you bukan taste I…” Kata-kata Haikal begitu tajam menikam.
“I dah cakap
dekat orang tua I. Dan ya, diorang pun
kecewa macam orang tua you. Tapi, I
bukan nak hidup dengan patung bernyawa.
I perlukan manusia. Ya, you
manusia yang begitu sempurna. Kerana tu,
you lebih nampak macam patung pada mata I…”
Suara Haikal begitu mencengkam.
Dian gamam. Kali ini, airmata Dian jatuh tanpa dapat dia
seka. Terkejutnya tak terkata dengan kata-kata
Haikal. Sudahlah cakap dia digadai oleh keluarga sendiri dan sekarang Haikal
memanggilnya patung? Benar gamaknya, dia
adalah patung yang bernyawa.
Tapi, Haikal…
Tak sempat
berkata apa, Haikal menarik tangan Dian.
Pertama kali dia sentuh kulit yang mulus itu.
“You nak buat
apa ni?” soal Dian cuba menarik tangannya
tapi kudrat Haikal tak mampu ditandingi.
Haikal terus
senyum. Tangannya menyasar pada jari
manis Dian. Cincin yang mummynya pernah
sarungkan itu, ditarik perlahan hingga jari manis itu kembali tidak berhias.
“My
regard to your parents, Edian…” Haikal
terus bangkit menapak tanpa menoleh lagi.
Rasa sakit
hatinya selama ini bagai terbalas.
Sempat dia kerling lelaki yang buat-buat tunduk melakukan kerja. Padahal sejak tadi, dia tahu mata lelaki itu
memerhatikan Dian.
No comments:
Post a Comment